Sunday 20 December 2015

CONTEMPORARY ISSUES IN MATHEMATICS EDUCATION


PENDIDIKAN MATEMATIK
Kemahiran asas Matematik memainkan peranan yang penting dalam kehidupan seharian kita.Ini kerana segala aktiviti yang dilakukan adalah berkaitan dengan Matematik.Diantaranya ialah ketika membeli makanan atau barang, merancang masa dan aktiviti untuk kerja yang hendak dilakukan, merancang percutian dan sebagainya.Pengetahuan Matematik juga melatih akal dan fikiran kita dalam berfikir secara logik dan rasional.Sebagai contohnya, tanpa pengetahuan Matematik kita tidak boleh menyelaras atau menguruskan perbelanjaan dan kewangan dengan baik dan sistematik.
Matematik juga meningkatkan keupayaan dan tahap kebijaksanaan kita dalam menangani soalan berbentuk penyelesaian masalah. Seseorang yang telah diberi latihan yang mantap dalam Matematik akan mampu melakukan kerja-kerja yang kompleks dengan berkesan. Sejarah membuktikan bahawa ahli Matematik telah berjaya membaca serta meyelesaikan kerumitan dalam kod rahsia semasa perang dunia kedua.Selain itu, Matematik juga memainkan peranan yang penting dalam perkembangan informasi dan teknologi komunikasi (ICT).Sebagai contoh penciptaan sistem nombor menyumbang kepada prosedur pengiraan komputer.Kemajuan dalam Matematik juga banyak menyumbang kepada kemajuan sains.
Matlamat pendidikan Matematik adalah untuk memperkembangkan pemikiran mantik, analitis, bersistem dan kritis, kemahiran penyelesaian masalah serta kebolehan menggunakan ilmu pengetahuan matematik supaya individu dapat berfungsi dalam kehidupan seharian dengan berkesan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1988). Untuk mencapai matlamat pendidikan ini, maka proses pengajaran dan pembelajaran Matematik di sekolah perlu dipertingkatkan.

ASAL USUL PENDIDIKAN MATEMATIK DI MALAYSIA
      a)  Laporan Razak (1956)
Menteri Pelajaran ketika itu ialah Y.B. Dato' Tun Abdul Razak Hussein menubuhkan Jawatankuasa Pelajaran serta mengesyorkan beberapa perubahan dalam sistem pendidikan dan laporan ini lebih dikenali sebagai Penyata Razak (1956). Cadangan-cadangan dalam penyata tersebut telah dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran 1957 .Kurikulum pendidikan matematik yang rasmi hanya diguna pakai bermula 1956 selepas cadangan Penyata Razak supaya semua sekolah kerajaan berbuat sedemikian. Walau bagaimanapun, terdapat hanya sedikit perubahan tajuk pada kurikulum yang rasmi itu.Perubahan besar hanya berlaku selepas pelaksanaan Projek Khas pada 1970.
b)      Laporan Projek khas (1970)
Projek Khas Kementerian Pelajaran Malaysia bermula pada 1968 diterajui oleh En.Abu Hassan Ali. Objektif projek ini adalah bagi memperbaiki mutu pendidikan matematik serta sains agar selaras dengan perkembangan matematik moden di negara-negara maju. Program ini telah diubahsuai serta diperkenalkan ke semua sekolah rendah dari masa ke semasa sehingga ianya digantikan dengan Matematik KBSR.Bahan-bahan pengajaran-pembelajaran direka cipta oleh pensyarah dan guru yang telah dilatih di luar negara.  Hanya terdapat sedikit perubahan kandungan matematik sekolah rendah pada Projek Khas ini.Walau bagaimanapun, strategik serta kaedah berpusatkan guru diperkenalkan.Kaedah inkuiri-penemuan digalakkan. 
        Program Matematik Moden (1970)
Program Matematik Moden diperkenalkan ke sekolah rendah dan menengah pada awal tahun 70an. Tujuan utama program ini adalah memperkenalkan tajuk-tajuk moden di ketika itu seperti teori set, statistik dan vektor yang dipermudahkan.Pendekatan tradisi digantikan dengan kaedah semasa.  Sukatan Matematik Moden dirancang oleh Panitia Kurikulum Matematik yang ditubuhkan pada 1969.Sukatan berkenaan dirancang selepas diadakan kajian terhadap kurikulum British School Mathematics Project (SMP) dan Scottish Mathematics Group (SMG).
Panitia berkenaan memilih sukatan SMG kerana ianya lebih sesuai bagi murid pelbagai kebolehan di sekolah menengah rendah.  Pada 1972, topik-topik SMP telah diguna pakai bagi pendidikan Matematik di Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 kerana panitia berkenaan mendapati bahawa ianya lebih sesuai bagi tujuan peperiksaan Sukatan Matematik.  Terdapat dua buah buku teks iaitu Matematik Moden Tingkatan 4 dan Matematik Moden Tingkatan 5 telah diterbitkan pada 1974 dan 1975.  Seterusnya, kedua-dua sukatan menengah rendah dan menengah atas iaitu Sukatan Matematik Moden Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 telah disatukan pada 1978.  Satu pertiga daripada Sukatan Matematik Moden mengandungi topik-topik baru seperti sistem pernomboran, pemetaan, transformasi geometri, matriks dan statistik.  Strategi pengajaran serta pembelajaran berpusatkan murid dan bahan manipulasi terus digalakkan dan disarankan.

d)     Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) (1983)

KBSR dijalankan pada tahun 1983 berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan (1979).  Melaluinya, kurikulum Matematik telah mengalami perubahan yang besar daripada Kurikulum Matematik Moden. Kurikulum ini bertujuan bagi menyediakan peluang yang sama bagi semua murid bagi memperoleh pengetahuan, kemahiran, sikap, peraturan serta amalan sosial masyarakat yang baik. Matematik KBSR ini bertujuan bagi mengembangkan lagi kemahiran mengira dalam kalangan murid.Mereka juga perlu menguasai kemahiran-kemahiran asas matematik.Perubahan utama adalah mengurangkan kandungan matematik agar menjadi lebih sesuai dengan kebolehan murid.Sukatan pelajaran dibahagi kepada dua iaitu Aras I dan Aras II. Bagi Aras I (Tahun 1 – Tahun 3) lebih mementingkan penguasaan terhadap konsep-konsep asas penomboran dan pelaksanaan empat operasi asas matematik (+, -, ÷ dan x).  Manakala Aras II (Tahun 4 – Tahun 6) pula lebih mementingkan aplikasi kemahiran operasi asas dan penyelesaian masalah matematik. 

e)      Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (1994)
Matlamat utama Pendidikan Matematik dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah bertujuan bagi memudahkan pelajar membina konsep nombor dan menguasai kemahiran asas mengira.Kurikulum Baru Sekolah Rendah ditukar kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah pada tahun 1994.Manakala kurikulum matematik sekolah menengah juga mengalami perubahan daripada Kurikulum Baru Sekolah Menengah (1989) kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah pada tahun 1998.Perubahan yang dibuat bagi selaras dengan kehendak serta cita-cita murni yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan 1994.Dengan ini, diharapkan pelajar dapat menyelesaikan masalah dalam kehidupan seharian dengan berkesan.Berasaskan pengetahuan matematik yang diperolehi, pelajar seharusnya boleh menguruskan aktiviti harian mereka dengan lebih sistematik.  Ini dapat membantu mereka bagi terus maju serta melanjutkan pelajaran di masa akan datang dan menyumbang kepada pembentukan modal insan yang diperlukan untuk membangunkan masyarakat dan negara. (Sukatan Matematik Sekolah Rendah: April 1993)


f)       Sukatan Matematik Sekolah Rendah (1998)
Pengubahsuaian dan perubahan yang berlaku dalam perkembangan kurikulum pendidikan matematik bukan hanya bertujuan untuk menambahbaik dan menyelesaikan kelemahan yang terdapat dalam kurikulum terdahulu malahan merupakan tuntutan untuk merealisasikan objektif dan aspirasi seperti yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Visi 2020.Berikutan pelancaran Sekolah Bestari (1995) dan memenuhi keperluan IT (Teknologi Maklumat) seperti yang terdapat dalam cabaran visi 2020, sukatan matematik telah disemak semula.Semakan sukatan matematik pada tahun 1998 memastikan pelajar menguasai kemahiran asas matematik dan dapat menggunakannya dalam situasi harian sepenuhnya.Jawatankuasa yang berkenaan telah mengagihkan kemahiran belajar yang diperlukan kepada sembilan tajuk utama.  Bagi setiap tajuk, kemahirannya disusun dari mudah kepada susah secara hiraki. Tajuk- tajuknya ialah nombor bulat dan operasi asas, pecahan dan operasi asas, perpuluhan dan operasi asas, wang, ukuran panjang dan berat, ruang, purata, peratus dan graf.
g)      Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris  (PPSMI) 2003
Pada bulan Januari 2003, Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah mula dilaksanakan untuk pelajar Tingakatan 1, 4 dan 6 rendah. Dengan penguasaan Bahasa Inggeris yang baik, perubahan ini bertujuan supaya pelajar dapat mengakses maklumat untuk tujuan pembelajaran dengan mudah, seiring dengan perkembangan teknologi maklumat. Bagi setiap tajuk, kemahirannya disusun dari mudah kepada susah secara hiraki. Tajuk tajuknya adalah nombor bulat dan operasi asas, pecahan dan operasi asas, perpuluhan dan operasi asas,wang, ukuran panang dan berat,ruang,purata,peratus dan graf.
Pengubahsuaian dan perubahan yang berlaku dalam perkembangan kurikulum pendidikan matematik bukan hanya bertujuan untuk menambahbaik serta menyelesaikan kelemahan yang terdapat dalam kurikulum terdahulu malahan ialah tuntutan bagi merealisasikan objektif serta aspirasi seperti yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Visi 2020. Pada bulan Januari 2003, Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah mula dilaksanakan untuk pelajar Tingakatan 1, 4 dan 6 rendah. Dengan penguasaan Bahasa Inggeris yang baik, perubahan ini adalah membolehkan pelajar dapat mengakses maklumat bagi tujuan pembelajaran dengan mudah,seiring dengan perkembangan teknologi maklumat.
Selain daripada perkembangan kurikulum matematik seperti yang telah dibincangkan, ada beberapa projek lain yang telah dijalankan untuk meningkatkan kualiti pengajaran matematik di sekolah. Di antaranya ialah Projek Imbuhan (Compensatory Project), Projek InSPIRE (the Integrated System of Programmed Instruction for Rural Environment) dan projek Sekolah Bestari.
h)     Projek Imbuhan (Compensatory Project) (1975-1980)
Projek Imbuhan telah dilaksanakan selepas Perang Dunia yang kedua bagi menangani keadaan ketidakserataan serta ketidakadilan peluang pendidikan  antara golongan kaya dan miskin. Akibat taraf sosioekonomi yang berbeza wujudlah jurang yang ketara ini.Golongan kaya mendapat pendidikan yang sempurna manakala golongan miskin terus dipinggirkan bagi belajar.Berikutan itu, Projek Imbuhan dijalankan untuk membela nasib kanak- kanak dari keluarga yang berpendapatan rendah.
Projek ini telah dilancarkan dan dilaksanakan dari tahun 1975 sehingga tahun 1980.Melalui projek ini, peruntukan – peruntukan khas dalam bentuk bantuan telah dihulurkan kepada semua ibubapa dan pelajar sekolah rendah dan pra- sekolah yang kurang berkemampuan. Ini termasuklah pemberian subsidi makanan, bantuan kewangan dan kemudahan- kemudahan lain. Bagi mempastikan kejayaan dan keberkesanan, projek ini telah disokong oleh sumber- sumber seperti bahan pembelajaran khas dan guru- guru yang dilatih khusus menjalankan projek ini.Skema pembelajaran juga direkabentuk mengikut perkembangan kognitif murid-murid. Projek ini menitikberatkan bidang pedagogi ( pendidikan pemulihan) dan elemen- elemen sosio-ekonomi dan politik.
i)        Projek InSPIRE (1977) (Integrated System of Programmed Instruction for Rural Environment)
Idea ini ialah untuk menubuhkan Projek InSPIRE yang bermula dalam tahun 1977.Langkah ini diterajui oleh Universiti Sains Malaysia sebagai satu projek pendidikan.Tujuan utama projek ini adalah bagi mencari kaedah yang berkesan bagi menjalankan program pemulihan serta pengayaan matematik di sekolah- sekolah rendah di luar bandar. Pelbagai set bahan-bahan bagi aktiviti pemulihan dan pengayaan matematik telah dibina dan dihantar ke sekolah- sekolah untuk diuji. Di samping itu, tujuan kedua projek ini ialah membantu Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia melaksanakan program pemulihan dan pengayaan dalam KBSR.Projek InSPIRE ini telah dilancarkan secara rasmi pada tahun 1983.
j)       Projek Sekolah Bestari di Malaysia
Sekolah Bestari telah dilaksanakan pada tahun 1996.Ia merupakan salah satu daripada tujuh aplikasi ‘flagship’ dalam projek Koridor Raya Multimedia (Multimedia Super Corridor). Pada bulan Julai 1997, Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu telah melancarkan dokumen flagship Sekolah Bestari di Malaysia disamping dokumen berkaitan flagship- flagship lain. Pelaksanaanya adalah bertujuan melahirkan pelajar yang kretif dan kritis untuk menghadapi pelbagai cabaran zaman mereka di dalam era teknologi maklumat dan perkembangan global. Bahagian Pendidikan Guru yang dipertanggungjawabkan mengendali kursus Sekolah Bestari telah mencadangkan 4 pendekatan pengurusan pembelajaran bestari iaitu:
(i)                 Pembelajaran berpusatkan pelajar.
(ii)               Pembelajaran bersifat individu.
(iii)             Pembelajaran berfikrah.
(iv)             Pembelajaran berbantukan teknologi.
Sekolah Bestari Malaysia merupakan satu institusi pendidikan yang telah direkabentuk semula secara menyeluruh dari segi pengajaran dan pembelajaran dan pengurusan sekolah dengan matlamat membantu pelajar menghadapi cabaran Zaman Maklumat.

OBJEKTIF PENDIDIKAN MATEMATIK
Secara umumnya pendidikan Matematik memberi penekanan kepada perkembangan pelajar yang menyeluruh termasuk perkembangan kognitif, sikap dan psikomotor serta memupuk nilai-nilai murni untuk menjadi rakyat yang berguna selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Untuk mencapai matlamat dan tujuan pendidikan Matematik, kita haruslah memberikan perhatian dalam pengajaran dan pembelajaran di mana penglibatan pelajar dalam proses pembelajaran yang aktif dan menunjukkan minat yang bersungguh-sungguh.
            Bagi sekolah-sekolah di Malaysia, Matematik dianggap sebagai satu bidang ilmu yang melatih minda supaya berfikir secara mantik dan bersistem dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1988). Berpegang kepada pandangan tersebut, kurikulum Matematik peringkat sekolah bertujuan membentuk pelajar yang berfikiran mantik, bersistem serta berketerampilan menggunakan pengetahuan matematik secara berkesan dan bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan supaya berupaya menangani cabaran dalam era maklumat.

TUJUAN PENDIDIKAN MATEMATIK
Tujuan pendidikan matematik adalah untuk mendedahkan kepada guru dan pelajar tentang kaedah, kemahiran dan keterangan dalam matematik. Setiap proses ini hendaklah dibincangkan mengikut turutan dan diterangkan secara teliti dan tepat. Matlamat dan tujuan ini boleh dicapai apabila semua potensi diri pelajar telah dikembangkan secara menyeluruh dan seimbang.    
Dalam soal merancang penerangan matlamat dan tujuan pendidikan matematik tersebut, kita haruslah mengetahui dengan jelas tentang apa yang diharapkan oleh masyarakat. Setelah mengetahui matlamat dan tujuan, kita bolehlah memikirkan syarat-syarat yang perlu diambil kira seperti berikut :
i)                    Pendidikan Matematik di Malaysia merupakan salah satu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu dalam matematik.
ii)                  Usaha untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan dalam matematik.
iii)                Berupaya mengintegrasi dan memindahkan perlakuan kepada keadaan yang baru.

REFORMASI DALAM PENDIDIKAN MATEMATIK
Reformasi dalam pendidikan Matematik terbentuk kerana dipengaruhi oleh beberapa faktor :
(a)   Pandangan Konstruktivisme dalam Pembelajaran Matematik (Cobb et al., 1992)
Pendekatan konstruktivisme menegaskan pembelajaran matematik membabitkan pembinaan skim yang baru atau pengubahsuaian terhadap skim yang sedia ada berasaskan pengalaman tertentu. Skim ialah pola-pola tindakan yang digeneralisasikan. Menurut pendekatan konstruktivisme, matematik hanya wujud dalam mental seseorang pelajar dan bukan wujud secara semula jadi di persekitaran.Pengetahuan matematik tidak dipindah daripada guru kepada pelajar.Matematik mempunyai makna hanya apabila disedari oleh pelajar itu.
(b)   Kehadiran Teknologi Maklumat dalam Pendidikan Matematik
Kehadiran teknologi terutamanya teknologi elektronik seperti kalkulator dan komputer telah menukar fungsi pengajaran dan pembelajaran Matematik kerana ia membekalkan satu tapak bagi mempercepatkan dan mempelbagaikan aktiviti dan bentuk persembahan. Principals and Standards for School Mathematics (NCTM, 2000) menganjurkan tiga aspek kepentingan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik, seperti berikut
i)                    Teknologi meningkatkan keupayaan pembelajaran matematik
ii)                  Teknologi menyokong pengajaran matematik berkesan
iii)                Teknologi mempengaruhi matematik yang diajar

ISU-ISU PENDIDIKAN DI MALAYSIA
Kementerian pendidikan telah menyediakan sistem pendidikan yang bertanggungjawab untuk menyediakan generasi muda yang mempunyai pelbagai pengetahuan dan kemahiran agar apabila mereka memasuki ke alam dewasa mereka boleh hadapinya dengan baik.Tujuan dan matlamat pendidikan Negara pada abad ke 21 amat jelas sekali bagi menyediakan pendidikan yang ideal.Kementerian Pendidikan telah menyusun dan merancang untuk memperbaiki, memperkukuh, dan mempertingkatkan mutu pendidikan Negara sesuai dengan perubahan sosialisis masyarakat hari ini. Terutamanya adalah memberikan peluang pendidikan yang sama kepada semua pelajar tanpa mengambil kira budaya, kelas sosial, kelompok etnik dan amalan atau cara hidup. Kementerian Pelajaran Malaysia telah menyatakan di dalam buku Pembangunan Pendidikan 2001-2010 bahawa pembangunan pendidikan dari Zaman Dasar Pembangunan hingga ke Zaman Dasar Wawasan Negara telah berjaya mencapai banyak kemajuan khususnya dalam penyediaan infrastruktur, kemudahan pendidikan dan latihan perguruan. Walau bagaimanapun, masih dilihat pada masa kini terdapat pelbagai isu yang ditimbulkan berkaitan dengan pencapaian Dasar Pendidikan Kebangsaan.Diantara isu yang terlibat ialah perkara yang berhubung dengan struktur pendidikan, akses kepada pendidikan, ekuiti, kualiti tenaga pengajar, ketidakseimbangan penyediaan infrastruktur, Pelaksanaan Program PPSMI, dan kurikulum yang relevan.Berdasarkan pendapat Sufean (2004) menyatakan terdapat banyak isu pendidikan yang boleh dikategorikan iaitu pentadbiran, peringkat pendidikan, teknologi pendidikan, organisasi sekolah dan keguruan.

STRUKTUR PENDIDIKAN
Terdapat beberapa isu yang berkaitan dengan struktur pendidikan termasuklah struktur pendidikan menengah yang tidak selaras dan kurang menepati keperluan. Diantaranya :
Ø  Bilangan tahun persekolahan struktur pendidikan Malaysia tidak sama dengan kebanyakan negara lain di dunia;
Ø  Tidak terdapat keseragaman dalam kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) disebabkan wujudnya pelbagai haluan;
Ø  Kebanyakan pelajar memilih untuk menamatkan persekolahan mereka selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM);
Ø  Skop kurikulum Tingkatan 1 hingga 6 sangat luas.

AKSES PENDIDIKAN
KPM telah memperkenalkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi atau Information and Communication Technology (ICT) dalam pendidikan selaras dengan perkembangan teknologi semasa yang meliputi aspek prasarana, pengisian dan latihan guru.Pelbagai projek ICT telah dilaksanakan oleh KPM dengan pembekalan komputer sebagai aktiviti utama penyediaan infrastruktur ICT.Namun terdapat beberapa masalah yang menyebabkan usaha penggunaan ICT tidak dapat dilaksanakan dengan baik. Diantaranya:
Ø  Pembekalan komputer yang tidak seimbang antara sekolah Bandar dan luar Bandar;
Ø  Perisian komputer untuk PdP yang sesuai sukar diperoleh;
Ø  Latihan dalam perkhidmatan untuk guru mengendalikan sistem komputer di sekolah yang kurang berkesan;
Ø  Penyenggaran komputer yang kurang memuaskan di sekolah;
Ø  Bilangan guru terlatih dalam ICT yang belum mencukupi.
Maka, bukan mudah dan menjadi satu cabaran kepada pihak KPM bagi menjadikan setiap murid dan guru celik ICT serta memastikan setiap sekolah mendapat komputer.

EKUITI PENDIDIKAN (PERUNTUKAN PENDIDIKAN)
Setiap institusi pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan dipastikan mempunyai infrastruktur yang berkesan yang mencukupi dan berkualiti untuk pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum yang berkesan berdasarkan pelaksanaan Pembangunan Pendidikan 2001-2010. Bagi mengurangkan jurang perbezaan antara sekolah beruntung dan sekolah tidak beruntung input pendidikan akan diagihkan secara adil ke semua sekolah yang meliputi guru, peruntukan kewangan, bahan dan peralatan pengajaran serta program sokongan. Namun, masih timbul beberapa isu yang berkaitan dengan ekuiti atau peruntukan yang disediakan oleh KPM tidak mencukupi sebagai pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran.Dimana masih banyak lagi sekolah-sekolah di Malaysia yang belum menikmati kemudahan yang dijanjikan setelah lebih kurang tujuh tahun pelaksanaan program tersebut. Diantara contohnya ialah kemudahan lain seperti sumber pengajaran dan pembelajaran dan kelengkapan buku teks juga masih berkurangan.

TENAGA PENGAJAR
Dalam pelaksanaan pendidikan yang berkesan masih terdapat kekangan yang jelas dimana terdapat kekurangan tenaga pengajar yang berkemahiran mengikut opsyen masing-masing.Kebanyakan sekolah di pedalaman dan pulau mendapat guru yang kurang berpengalaman atau kurang latihan.Maka berlakulah keadaan di mana kebanyakan guru mengajar di sekolah menjadi “bidan terjun”.Guru yang bukan opsyen terpaksa mengajar mata pelajaran kritikal seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris bagi memenuhi keperluan pelajar.Di sebabkan kurang pengalaman dan pengetahuan tentang subjek berkenaan maka kewibaan guru dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar mula dipertikaikan.




No comments:

Post a Comment