Tuesday 22 December 2015

KESAMARATAAN AKSES KEPADA PENDIDIKAN BERKUALITI BERTARAF ANTARABANGSA

AKSES
Menurut Kamus Dewan edisi yang ke-4, akses bermaksud proses atau cara untuk mencapai atau memperoleh sesuatu data dan maklumat capaian. Manakala ekuiti pula bermaksud pemilikan sama rata dalam sesebuah organisasi atau dalam erti kata lain  usaha bagi memastikan semua orang mendapat bantuan secukupnya bagi mencapai satu tujuan pada tahap yang sama. Maka dengan itu, Akses dan Ekuiti Dalam Pendidikan Matematik adalah suatu perbincangan tentang hak semua orang mendapatkan pengetahuan Matematik dengan sempurna dan mendapat peluang seluasnya bagi mencapai tahap tertinggi dalam pengetahuan Matematik.

Isu tentang perkara ini mula hangat diperkatakan pada hujung kurun ke-20. Hal ini adalah kerana ketika itu telah muncul beberapa wanita dalam fakulti pengajian Matematik di universiti terawal dunia. Usaha bagi mengkaji kewujudan dan peranan ahli Matematik wanita mula giat dijalankan. Ini adalah kerana hanya ahli Matematik lelaki berbangsa Eropah yang diketengahkan pada awal kurun ke-19. Tambahan lagi, ilmu Matematik ini hanya didapati dalam bahasa-bahasa bangsa Eropah sehinggalah zaman itu dikenali sebagai zaman Matematik Eropah.

 Selain itu, ilmu Matematik didapati hanya berkisar tentang hal kaum lelaki dengan penggunaan contoh masalah dan penggunaan perkataan objek dan nama yang merujuk kepada lelaki. Maka dengan itu, muncul kesedaran bahawa bidang Matematik ini hanya dibuka kepada golongan tertentu dan tidak menjadi ilmu pengetahuan yang dapat disampaikan kepada semua orang tanpa mengira jantina, kaum, faktor geografi, umur, keupayaan fizikal dan mental. Slogan ‘Matematik untuk Semua’ mula kedengaran daripada kebanyakan ahli Matematik yang ketika itu mula menjalankan usaha bagi memastikan ilmu Matematik ini dapat disampaikan kepada semua orang tanpa ada halangan.

Perkembangan ini digambarkan oleh seorang ahli Matematik lelaki Amerika pada masa itu, David Henderson dalam bukunya yang diterbitkan pada 1981 : “…saya pasti bahawa jika wanita, golongan kelas pekerja dan bangsa lain terlibat dalam perkembangan ilmu Matematik masa kini, pastilah pandangan masyarakat tentang ilmu Matematik akan berubah dan pengetahuan kita tentang alam ini akan mencapai kemajuan. Ini merupakan pencapaian bagi kita semua ”.

Golongan yang terpinggir daripada akses dan ekuiti dalam pendidikan Matematik begitu hangat dibincangkan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa isu yang telah dapat dikenalpasti dan usaha bagi mendapatkan akses dan ekuti dalam pendidikan Matematik bagi golongan yang terbabit dalam isu ini adalah antara yang terawal dilaksanakan semenjak kesedaran ‘Matematik untuk Semua’ muncul. Isu yang dimaksudkan adalah jantina, tahap literasi dan numerasi, penduduk luar bandar dan pedalaman, serta orang yang direman dan banduan.
           
MENYEDIAKAN KESAMARATAAN AKSES KEPADA PENDIDIKAN BERKUALITI BERTARAF ANTARABANGSA

Mengapakah perlu ? :

Asas kejayaan sistem persekolahan bergantung kepada apa yang murid mesti tahu, faham, dan mampu lakukan. Sejak dahulu lagi, murid Malaysia berkebolehan mengemukakan semula kandungan mata pelajaran yang diikuti. Walau bagaimanapun, kemahiran ini kurang penting dalam ekonomi yang sentiasa berubah pada masa ini. Sebaliknya, murid perlu ada keupayaan menaakul, membuat unjuran, dan mengaplikasi pengetahuan secara kreatif dalam suasana baharu yang berlainan. Murid juga memerlukan ciri kepimpinan untuk bersaing di peringkat global. Pentaksiran antarabangsa TIMSS dan PISA menunjukkan murid di Malaysia sukar mengaplikasi kemahiran berfikir aras tinggi. Kaji selidik yang dijalankan ke atas syarikat Malaysia dan syarikat antarabangsa juga mendapati bahawa murid Malaysia gagal menguasai kemahiran insaniah yang diperlukan oleh bakal majikan. Pada masa yang sama, pendidikan sering dilihat sebagai pengupaya mobiliti sosial. Kanak-kanak yang dilahirkan dalam
keluarga miskin berpeluang memperoleh pendapatan yang tinggi apabila dewasa, sekiranya mereka berpeluang mendapat pendidikan tinggi. Walau bagaimanapun, selagi status sosioekonomi kekal sebagai penentu kejayaan akademik dan merupakan faktor utama yang mewujudkan jurang pencapaian
murid, hasrat Kementerian untuk merealisasikan mobiliti sosial dalam kalangan murid miskin sukar dicapai.
·         Menanda aras pembelajaran bahasa, Matematik dan Sains dengan standard antarabangsa.
-          Setiap murid akan menerima asas literasi dan numerasi, iaitu kemahiran asas untuk pembelajaran pada masa hadapan, serta dalam mata pelajaran Sains, iaitu bidang pertumbuhan utama bagi ekonomi Malaysia. Murid akan diajar mengikut kurikulum yang digubal berdasarkan standard sistem pendidikan berprestasi tinggi dan tanda aras ini perlu disahkan oleh badan bebas untuk meyakinkan ibu bapa. Kementerian juga akan menetapkan dan memantau sasaran pencapaian murid dalam pentaksiran antarabangsa PISA dan TIMSS. Pentaksiran tambahan yang mengambil kira dimensi kualiti lain yang relevan dengan konteks Malaysia, boleh dimasukkan apabila dibina dan diterima di peringkat antarabangsa.

·         Melancarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula pada 2017.
-          Kurikulum sekolah rendah dan menengah perlu disemak bagi mengimbangi set ilmu pengetahuan dan kemahiran seperti pemikiran kreatif, inovasi, penyelesaian masalah, dan kepimpinan. Kurikulum ini memberi penekanan kepada pengajaran berpusatkan murid dan pengajaran yang dibezakan, di samping turut memberi lebih penekanan kepada penyelesaian masalah, tugasan berasaskan projek, memperkemas mata pelajaran atau tema, dan melaksanakan pentaksiran formatif. Kurikulum ini akan menyokong dan mempercepat laluan pembelajaran untuk murid yang berprestasi tinggi menamatkan SPM dalam tempoh empat tahun, bukannya lima tahun, dan UPSR dalam tempoh lima tahun, bukannya enam tahun. Tambahan lagi, standard pembelajaran yang jelas akan dirangka agar murid dan ibu bapa memahami kemajuan yang dijangkakan bagi setiap tahun persekolahan.

·         Merombak peperiksaan kebangsaan dan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) untuk meningkatkan secara berperingkat peratusan soalan yang mentaksir kemahiran berfikir aras tinggi.
-          Menjelang 2016, soalan berbentuk pemikiran aras tinggi akan merangkumi sekurang-kurangnya 40% daripada soalan dalam UPSR dan sekurang-kurangnya 50% daripada soalan dalam SPM. Perubahan dalam reka bentuk peperiksaan bermaksud guru tidak lagi perlu meramal soalan dan topik yang akan diuji, dan melaksanakan latih tubi bagi mengingati kandungan pelajaran. Sebaliknya, murid akan dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasikan pengetahuan dalam situasi berbeza. Pada masa yang sama, pentaksiran berasaskan sekolah juga akan menganjak tumpuan untuk menguji kemahiran berfikir aras tinggi.

·         Meningkatkan kualiti pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).
-          Kurikulum, peperiksaan dan pentaksiran untuk semua mata pelajaran STEM akan dikaji semula sebagai sebahagian daripada reformasi KSSR, KSSM, dan penerapan kemahiran berfikir aras tinggi. Khususnya dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, murid akan mendapat manfaat dengan tambahan masa pengajaran dan penekanan terhadap aplikasi pengetahuan yang praktikal melalui amali makmal dan pembelajaran berasaskan projek. Dalam tempoh interim, Kementerian akan memperkenalkan modul kurikulum tambahan untuk menangani jurang terbesar dari segi kandungan dan kemahiran dalam kalangan murid yang telah dikenal pasti melalui pentaksiran TIMSS dan PISA. Modul ini akan dilaksanakan mulai 2014. Kementerian juga akan menjalankan ujian diagnostik terhadap guru untuk mengenal pasti tahap kemahiran pedagogi dan pengetahuan kandungan mata pelajaran bagi menyediakan program peningkatan kemahiran khusus. Selain itu, Kementerian juga akan meneroka penggunaan model pembelajaran pelbagai mod yang memanfaatkan teknologi untuk mengukuhkan pembelajaran murid.

·         Memperluas akses dan meningkatkan kualiti laluan pendidikan, bermula dengan pendidikan vokasional.
-          Menjelang akhir 2013, perkhidmatan kaunseling kerjaya dan akademik akan dimasukkan ke dalam jadual waktu sekolah menengah untuk membantu murid membuat pilihan bermaklumat mengenai pelbagai laluan pendidikan yang ditawarkan seperti sekolah agama, sekolah vokasional dan teknik, sekolah seni dan sekolah sukan, program pembelajaran pintas untuk murid berprestasi tinggi dan pintar cerdas serta Tingkatan 6, dan Program Matrikulasi. Bagi laluan pendidikan seperti Pendidikan Vokasional yang mana permintaan melebihi bekalan, Kementerian mengadakan perjanjian pembelian tempat dengan sektor swasta. Kementerian akan meningkatkan kualiti pendidikan vokasional melalui kerjasama dengan sektor swasta bagi mendapat kelayakan yang diiktiraf oleh industri, penawaran lebih peluang kursus praktikum secara ‘hands-on’ dan meningkatkan latihan guru.

·         Meningkatkan kualiti prasekolah dan menggalakkan enrolmen sejagat menjelang 2020.
-          Setiap murid berusia 5 tahun dan ke atas akan mendaftar di institusi pendidikan prasekolah yang
dikendalikan oleh pihak awam atau swasta. Keluarga berpendapatan rendah dan tidak mampu mendaftar anak mereka ke prasekolah akan diberi bantuan kewangan berdasarkan keperluan oleh Kementerian. Semua prasekolah akan mengikuti standard kualiti kebangsaan, termasuk memastikan guru yang berkelayakan sekurang-kurangnya diploma ditempatkan di setiap prasekolah. Institusi prasekolah ini akan diperiksa secara tetap oleh Kementerian atau Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Malaysia bagi memastikan standard minimum dicapai.
·         Meningkatkan pelaburan dalam sumber fizikal dan sumber pengajaran untuk murid berkeperluan khusus.
-          Murid Orang Asli dan kumpulan minoriti lain, dan murid kurang upaya fizikal atau pembelajaran akan menerima bantuan tambahan supaya mereka juga menikmati peluang pendidikan yang sama rata. Menjelang 2025, murid ini akan memasuki sekolah yang mempunyai kemudahan dan peralatan lengkap bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan membantu murid. Mereka akan diajar oleh guru yang telah menerima latihan tambahan untuk memahami keperluan dan cabaran khusus murid, dan strategi pengajaran yang diperlukan untuk mengajar murid berkeperluan khusus. Murid ini juga akan diberikan sokongan melalui peluasan jaringan kaunselor, terapis, dan pembantu guru mengikut keperluan.

·         Melanjutkan pendidikan wajib daripada 6 tahun kepada 11 tahun bermula pada umur 6 tahun dan ke atas, disokong dengan program pengekalan yang disasarkan.
-          Menjelang 2020, setiap murid akan meninggalkan alam persekolahan dengan kelayakan minimum SPM atau kelayakan vokasional yang setara. Perubahan ini bermaksud pendidikan wajib akan ditingkatkan daripada 6 tahun kepada 11 tahun. Enrolmen murid dianggarkan akan meningkat masing-masing sebanyak 5%, 10% dan 20% di peringkat pendidikan rendah, menengah rendah dan menengah atas (berdasarkan kadar enrolmen pada 2011 untuk sekolah awam dan swasta). Murid yang mempunyai risiko tercicir akan dibantu menerusi pelbagai inisiatif, merangkumi bimbingan pemulihan untuk ibu bapa dan kaunseling murid, bagi mengekalkan mereka dalam sistem pendidikan.




No comments:

Post a Comment