Tuesday 22 December 2015

PENGGUNAAN TEKNOLOGI SEMASA PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI DALAM BILIK DARJAH


Penggunaan istilah “teknologi maklumat” mula digunakan pada sekitar dekad 1970-an. Terdapat banyak penyelidikan telah dilakukan bagi membiayai inovasi serta pembaharuan dalam bidang jentera dan pengkomputeran. Oleh itu, pada akhir dekad 1970-an telah terdapat penciptaan mikrokomputer dan juga diikuti dengan penciptaan komputer peribadi IBM pada tahun 1981. Information and Communication Technology(ICT) atau dikenali sebagai Teknologi Maklumat dan Komunikasi adalah merupakan teknologi yang diperlukan untuk pemprosesan data. ICT juga adalah penggunaan komputer dan perisian untuk mengubah, menyimpan, melindungi, memproses, memindah, melihat,dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu. Selain itu, ICT adalah sebagai satu proses pengaliran, penyebaran, pemprosesan dan penyimpanan maklumat menggunakan perantaraan teknologi. Teknologi ini juga disifatkan sebagai satu bentuk pemudah cara yang membolehkan pengaliran maklumat menjadi semakin mudah dan pantas.

Oleh yang demikian, teknologi dalam pendidikan juga adalah bukan lagi suatu perkara yang baru untuk dibincangkan.  Penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran seperti komputer, kalkulator saintifik, perisian dinamik bergrafik mahupun media teknologi maklumat telah digunakan oleh sesetengah guru di dalam bilik darjah. Kementerian Pendidikan Malaysia (2000) telah menyatakan objektif kurikulum matematik sekolah menengah, iaitu memperkasakan kebolehan pelajar dalam menggunakan teknologi yang bersesuaian untuk membina konsep, menguasai kemahiran dan menyelesaikan masalah serta meneroka ilmu matematik. Ini juga selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang telah memperkenalkan 11 anjakan yang perlu digunakan untuk mentransformasikan sistem pendidikan negara yang dimana anjakan yang ketujuh adalah memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.   

Penggunaan teknologi seperti komputer, kalkulator saintifik, perisian pembelajaran interaktif dan dinamik adalah merupakan elemen yang penting dalam pengajaran dan pembelajaran yang bertujuan sebagai persediaan dan memperkasakan pelajar dalam menghadapi cabaran di masa hadapan. Selaras dengan kandungan dan harapan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani untuk melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan dalam mencapai kesejahteraan diri dan seterusnya memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan Negara. Selain itu, terdapat beberapa strategi pembelajaran yang boleh digunakan oleh guru dalam mengaplikasikan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Di antaranya adalah menggunakan paparan multimedia, internet dan perisian interaktif yang kaya dengan teknologi terkini. Guru juga perlu mempunyai persepsi dan kesediaan terhadap teknologi yang digunakan untuk memastikan teknologi yang digunakan dalam bilik darjah adalah bersesuaian dan berkesan.  Ini juga ditunjukkan dalam kajian Yushau (2006) yang menyatakan persepsi guru terhadap teknologi maklumat memainkan peranan yang penting dan sebagai faktor yang menentukan keberkesanan penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran matematik.

Menyedari kepentingan penggunaan ICT pada masa kini, maka guru digalakkan untuk mengukuhkan penggunaan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Usaha yang boleh dilakukan untuk membentuk satu proses pengajaran adalah dengan mengintegrasikan penggunaan teknologi dalam bentuk yang boleh difahami oleh pelajar. Di samping itu, guru perlu mempunyai kesediaan dan pengetahuan mengenai teknologi yang akan digunakan bagi menjadikan suasana pembelajaran lebih bermakna dengan mengintegrasikan teknologi di dalam pengajaran ini. Menurut Power & Blubaugh (2005) menyatakan memberikan perhatian terhadap bagaimana dan bila teknologi dapat digunakan dengan berkesan di dalam bilik darjah ketika pengajaran dan pembelajaran matematik. Ia juga menggalakkan pembelajaran secara penemuan dan bereksperimen dengan penggunaan teknologi sebagai bahan bantu mengajar.

KEPENTINGAN PENGGUNAAN ICT
*      Meningkatkan kefahaman sesuatu konsep, memberi gambaran visual dan memudahkan pengiraan kompleks.
*      Merangsang murid untuk belajar secara berkesan dengan bimbingan yang minimum.
*      Membantu murid dalam proses penyelesian masalah dan komunikasi dengan lebih cepat dan tepat.
*      Mewujudkan peluang pembelajaran yang sama kepada murid yang mempunyai pelbagai kebolehan dan kecerdasan.
*      Membantu murid mendapat dan mengumpul maklumat yang mungkin sukar diperoleh dalam keadaan biasa.
*      Mewujudkan suasana pembelajaran yang seronok, mencabar dan berbentuk penerokaan.
*      Memupuk sifat ingin tahu dan ingin mencuba di kalangan murid.
*      Meningkatkan daya kreativiti, inovasi dan imaginasi murid.
*      Menggalakkan murid merealisasikan:
Ø  Pembelajaran terarah kendiri

Ø  Pembelajaran akses kendiri.




No comments:

Post a Comment