Tuesday 22 December 2015

Kurikulum mengikut KPM



KURIKULUM
Definisi kurikulum menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ialah kurikulum merupakan segala rancangan pendidikan yang dikendalikan oleh sesebuah sekolah atau institusi pendidikan untukmencapai matlamat pendidikan. Ia adalah suatu rancangan yang meliputi segala ilmu pengetahuan, kemahiran, nilai-nilai dan norma, unsur-unsur kebudayaan dan kepercayaan masyarakat untukdiperturunkan kepada ahli-ahlinya. Menurut pandangan Neagley & Evans, 1992; kurikulum bermaksud semua pengalaman yang dirancang dan dikemukakan oleh pihak sekolah.
Selain itu, kurikulum pendidikan merupakan satu wadah penting dalam menjana anjakan paradigma dalam diri setiap individu dan ia juga memainkan peranan penting untuk melahirkan insan deduktif yang dinamik dalam semua aspek kehidupan (Mastura Badzis, 2008). Secara umumnya, pendidikan selalu dikaitkan dengan proses pengajaran dan pembelajaran sesuatu kemahiran, penyampaian ilmu dan juga penerapan nilai. Dalam bentuk yang praktikal, hasil pendidikan seharusnya dapat melahirkan insan yang mampu mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dan memanfaatkan kemahiran yang dimiliki dalam kehidupan seharian.
Dalam konteks kanak-kanak, pendidikan perlu dilihat sebagai satu proses kognitif yang berterusan berkembang serentak dengan perkembangan individu seorang kanak-kanak yang mempelajari apa sahaja yang ada di persekitaran. Dengan adanya ‘ilmu’ atau kemahiran yang diperoleh, ia akan diaplikasikan dalam konteks persekitaran yang pelbagai samada dalam kehidupan sehariannya di ketika itu ataupun sebagai persediaan untuk kehidupannya di masa akan datang (Department of Education and Science, 1990).

KONSEP KURIKULUM
Reformasi atau perubahan dalam kurikulum matematik sekolah yang dijalankan banyak dipengaruhi oleh pandangan ahli pendidik tentang kurikulum, matematik, perkembangan kurikulum, dan justifikasi bagi memuatkan matematik dalam kurikulum sekolah. Cara mengkonsepsikan kurikulum matematik adalah penting kerana konsepsi dan cara kita berfikir tentang perkara tersebut menggambarkan dan mencorakkan cara kita melihat, berfikir, berbincang, mengkaji, dan bertindak terhadap matematik yang diajar kepada pelajar. Konsepsi kita tentang kurikulum matematik, cara kita berfikir, dan tindakan yang kita lakukan pula tidak bersifat bebas nilai. Hakikatnya, perkara tersebut menggambarkan andaian kita tentang pendidikan matematik dan alam semesta, walaupun andaian tersebut tidak dinyatakan secara eksplisit.
Kurikulum dirancang merujuk satu set pengalaman yang berdasarkan teori, penyelidikan, dan pengalaman profesional lalu yang dibentuk untuk pelajar bertujuan membantu mereka mencapai matlamat kurikulum. Pengajaran pula merujuk proses yang berdasarkan teori, penyelidikan, dan pengalaman profesional lalu dan semasa, yang digunakan untuk melaksanakan kurikulum yang dirancang. Selanjutnya, kurikulum dialami merujuk satu set pengalaman sebenar yang dialami oleh pelajar. Akhir sekali, perancangan kurikulum merujuk proses mengumpulkan, menganalisis, mempertimbang, dan mensintesiskan maklumat relevan dari pelbagai sumber untuk menentukan dan membentuk pengalaman yang dapat membantu pelajar mencapai matlamat kurikulum.

KOMPONEN-KOMPONEN UTAMA DALAM SESEBUAH KURIKULUM
        i.            Kandungan Kurikulum
      ii.            Objektif Kurikulum
    iii.            Proses Penilaian Kurikulum
    iv.            Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (P&P)

JENIS-JENIS KURIKULUM
                                i.            Kurikulum Tersembunyi :
-          Terletak di luar konteks pengajaran rasmi, belajar secara implisit.
-          Mengandungi peraturan tidak bertulis, konvensi, adat resam, nilai budaya yang dikenali sebagai sekolah, seperti sopan santun, menjaga kebersihan dan jujur.
-          Dibentuk berdasarkan faktor seperti status sosioekonomi dan latar belakang pengalaman guru dan murid.
                              ii.            Kurikulum yang Dialami / Dipelajari :
-          Semua perubahan pada nilai, persepsi, dan tingkah laku yang berlaku adalah hasil daripada pengalaman persekolahan.
                            iii.            Kurikulum yang Diuji :
-          Set pembelajaran yang dinilai dalam ujian yang digubal oleh guru, ujian dibina di peringkat daerah dan ujian piawaian.
                            iv.            Kurikulum yang Diajarkan :
-          Kurikulum yang dapat dilihat ketika memerhati pengajaran guru.
                              v.            Cadangan Kurikulum :
-          Kurikulum dicadangkan oleh pakar-pakar pendidik, pertubuhan profesional, suruhanjaya pembentuk dan pembuat dasar.
                            vi.            Kurikulum Bertulis / yang Dihasratkan :
-          Kurikulum yang dimuatkan dalam panduan kurikulum negeri dan daerah seperti kurikulum kebangsaan iaitu KBSR/KBSM/Kurikulum Kebangsaan Prasekolah.
                          vii.            Kurikulum Sokongan :
-          Kurikulum yang digambarkan dan dibentuk oleh sumber yang disediakan untuk menyokong atau menyampaikannya.
                        viii.            Kurikulum Masa Depan :
-          Merangkumi pendekatan berpusatkan murid yang membolehkan mereka memahami kekuatan dan kelemahan masing-masing serta berupaya belajar sepanjang hayat.
-          Pengalaman belajar direka untuk membantu murid menyepadukan pengetahuan baru dan memurnikannya bagi melahirkan celik akal melalui banding beza, membuat induksi, deduksi dan menganalisis.
-          Pengalaman belajar memberikan murid peluang untuk menggunakan pengetahuan secara bermakna bagi membolehkan mereka membuat keputusan dan untuk membentuk pemikiran kritikal, kreatif dan futuristik serta penyelesaian masalah seperti Kajian Masa Depan.
-           3 pendekatan boleh digunakan untuk melaksanakan visi ini:
·         Kandungan akan dibekalkan melalui pelbagai cara penyampaian dengan menggunakan pelbagai strategi.
·         Kurikulum akan dibina sebagai modul dan diakses melalui rangkaian jaringan.
·         Bahan, pengalaman, dan sokongan akan diperolehi daripada pelbagai sumber dan disepadukan ke dalam struktur teras kurikulum.

ARTIKEL 1 :ELEMEN MERENTAS KURIKULUM (EMK) DALAM KURIKULUM
STANDARD SEKOLAH RENDAH (KSSR)
(Daripada : Kementerian Pelajaran Malaysia (Bahagian Pembangunan)
Artikel ini membincangkan tentang EMK dalam kurikulum Negara kita. Terdapat 3 elemen di dalam EMK iaitu Elemen Kreativiti dan Inovatif, Elemen Keusahawanan, dan Elemen Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Maksud Elemen Kreativiti dan Inovatif ialah kebolehan individu untuk menghasilkan atau mencipta sesuatu, menyelesaikan masalah dan mencapai sesuatu objektif. Ia juga merujuk kepada kebolehan individu menggunakan daya imaginasi, idea dan pemikiran kreatif. Elemen Keusahawanan pula ialah satu proses dalam membentuk ciri-ciri, sikap, kaedah berfikir dan nilai kearah menjadi seorang usahawan. Terdapat 5 fokus elemen keusahawanan iaitu sikap keusahawanan, nilai moral dan etika keusahawanan, formulasi pengetahuan dan kemahiran teknologi dan vokasional, pengetahuan dan kemahiran keusahawanan, dan pemikiran keusahawanan. Elemen Teknologi Maklumat dan Komunikasi pula ialah teknologi yang digunakan khasnya dalam penggunaan komputer, peralatan komunikasi dan perisian aplikasi untuk memperoleh, memproses, menyimpan, menghantar, mendapatkan semula, menukar dan melindungi maklumat di mana dan bila masa sahaja. Terdapat beberapa pendekatan dalam membudayakan TMK di dalam proses pengajaran dan pembelajaran iaitu pengetahuan dan kemahiran TMK, pencapaian maklumat, ilmu pengetahuan dan penggunaan bahan pengajaran dan pembelajaran yang dicapai atau diakses melalui media TMK.

ARTIKEL 2 : KAJIAN KERELEVENAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN
DENGAN KURIKULUM
(Daripada: Alias Mat Saad, Nik Mohd. Rahimi Nik Yusoff, Ruhizan Mohammad Yassin)
Kurikulum pendidikan yang dibangunkan perlulah selaras dengan aspirasi wawasan negara, supaya generasi yang dididik dapat memenuhi tuntutan negara pada masa depan. Kegagalan kurikulum pendidikan untuk menselarikan objektifnya dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan akan menyebabkan generasi yang dididik memberi masalah kepada negara. “Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan Negara” (Falsafah Pendidikan Kebangsaan). Matlamat pendidikan Negara bolehlah dinyatakan secara ringkas sebagai usaha untuk melahirkan warganegara yang mempunyai sahsiah yang baik, seimbang dan sepadu dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan yang percaya dan patuh kepada Tuhan, berilmu pengetahuan, berfikiran kreatif dan rasional, berakhlak mulia, berketrampilan, berkeupayaan memberi sumbangan ke arah menambahkan kemakmuran masyarakat dan negara, setia kepada negara dan bertanggungjawab untuk menjaga hubungan baik dan mesra di antara insan dan memupuk perpaduan masyarakat Malaysia. Menurut Power (1982) kerelevenan ilmu itu ialah ilmu pengetahuan yang bermakna yang boleh diamalkan dan boleh memberi signifikannya kepada kehidupan. Oleh itu, kepada mereka yang terlibat dalam membangunkan sesuatu kurikulum ataupun modul untuk pelajar, kewajaran melihat kerelevenan ilmu itu perlu dibuat supaya hasil daripada kurikulum ataupun modul itu mampu untuk membolehkan seseorang pelajar itu menghadapi cabaran sebenar dalam masyarakatnya. Selain itu juga, kerelevenan sesuatu objektif pendidikan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan diperlukan kerana ia berguna dalam menentukan perancangan dan perkembangan pendidikan. Menurut Ishak (2005) berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan kita boleh mencadangkan matlamat pendidikan, merancang objektif dan aktiviti sesebuah institusi pendidikan, mencadangkan teori-teori pembelajaran yang akan digunakan serta membuat strategi bagi proses menggubal sesebuah kurikulum agar releven dengan kehendak semasa.

ARTIKEL 3 : PENGURUSAN KURIKULUM SEKOLAH MENENGAH DAN      
HUBUNGANNYA DENGAN PENCAPAIAN AKADEMIK
(Daripada: Rosnah Selamat)
Artikel ini membincangkan tentang  sejauh manakah budaya pengurusan kurikulum yang sistematik, berkesan dan cemerlang telah diamalkan di sekolah-sekolah menengah pada hari ini, untuk mengetahui adakah sistem pengurusan kurikulum di sekolah pencapaian cemerlang berbeza dengan sekolah pencapaian sederhana dan untuk mengetahui adakah sistem pengurusan kurikulum sesebuah sekolah mempengaruhi pencapaian sekolah tersebut dalam Peperiksaan Awam. Sistem pengurusan kurikulum yang meliputi sistem pengurusan panitia di kebanyakan sekolah menengah pada hari ini hanya pada tahap yang memuaskan sahaja. Hanya sebahagian kecil sahaja sekolah yang telah mengamalkan budaya pengurusan kurikulum yang boleh dianggap sistematik, berkesan dan cemerlang. Didapati sistem pengurusan kurikulum di sekolah pencapaian cemerlang lebih baik daripada sekolah pencapaian sederhana dan keberkesanan sistem pengurusan kurikulum sesebuah sekolah merupakan antara faktor yang mempengaruhi pencapaian sekolah tersebut dalam Peperiksaan Awam. Faktor utama kejayaan sesuatu reformasi kurikulum tidak semata-mata terletak pada perancangan yang mantap dan berterusan di peringkat atas, malah yang lebih penting ialah keberkesanan pelaksanaan reformasi tersebut di peringkat pelaksanaan yang paling bawah. Oleh yang demikian, pelaksanaan kurikulum di peringkat sekolah, khususnya di dalam bilik darjah, merupakan faktor penentu kejayaan reformasi tersebut. Betapa pun rapinya perancangan sesuatu reformasi di peringkat atasan, tetapi jika pelaksanaannya di peringkat sekolah tidak sistematik, tidak terancang dan pihak pengurusan sekolah tidak peka terhadap nilai dan aspirasi yang hendak dicapai, maka perubahan yang diharapkan tidak akan berlaku (Anas Ahmad, 1988). Kurikulum bolehlah dianggap sebagai nadi kepada sesebuah sekolah. Dalam pengertian yang luas kurikulum adalah segala-galanya bagi sesebuah sekolah. Oleh yang demikian, pengurusan kurikulum adalah satu bidang yang amat penting. Ia sama penting dengan proses pengajaran dan pembelajaran. Justeru itu, kedua-dua aspek pengajaran dan pembelajaran dan pengurusannya perlu diberi perhatian yang sama. Penyeliaan pengurusan kurikulum sekolah dan panitia-panitia mata pelajaran hendaklah dijalankan dari semasa ke semasa oleh pihak pengurusan sekolah supaya semua program kurikulum sekolah dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

No comments:

Post a Comment