KBAT
Dalam usaha kita untuk bersaing
dengan negara-negara termaju di dunia, sistem pendidikan kita perlu berupaya melahirkan
generasi muda yang berpengetahuan, mampu berfikir secara kritis dan kreatif
serta berupaya berkomunikasi dengan berkesan pada peringkat global. Di harapkan
langkah mengaplikasikan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam
pembelajaran dan pengajaran akan dapat menaikkan prestasi negara khususnya
dalam persaingan peringkat antarabangsa terutama dalam pentaksiran Programme
for International Student Assessment (PISA) dan Trends in
International Mathematics and Science Study (TIMSS) yang dinyatakan
dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2015.
Kemahiran berfikir aras tinggi
(KBAT) ialah keupayaan untuk mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai
dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat
keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu
Konsep & Teori Kemahiran Berfikir Aras Tinggi
(KBAT)
KBAT melibatkan kemahiran intelek
yang tinggi. Kemahiran ini kebiasaan melibatkan merujuk kepada empat aras
teratas dalam Taksonomi Bloom iaitu mengaplikasi, menganalisa, menilai dan
mencipta.
KBAT juga mengaplikasikan pemikiran secara kritikal, pemikiran
kreatif, pemikiran logikal, pemikiran reflektif dan meta kognitif. Secara
mudahnya murid mencerap sesuatu data atau maklumat kemudian diproses dalam
minda dan akhirnya dikeluarkan semula dalam pelbagai bentuk.Kemahiran berfikir
ini juga dikatakan sebagai berfikir secara kritis dan kreatif.
Memiliki kemahiran ini murid bebas
untuk membanding, membeza, menyusun atur, mengelas dan mengenal pasti sebab dan
akibat mengikut pendapat dan pandangan mereka sendiri.Andai kata diberikan
suatu soalan maka murid boleh memberi jawapan dalam pelbagai bentuk, idea baru
dan melihat daripada beberapa sudut.Di sinilah dikatakan wujudnya pemikiran
berbentuk kreatif, inovatif dan mereka cipta di kalangan murid.
KBAT ini juga mempunyai kelebihan
lain iaitu dapat meningkatkan lagi keupayaan dan kebolehan sedia ada pada
murid. Mereka akan dapat mengawal, memandu dan mengukur pembelajaran yang telah
mereka kuasai. Kebolehan ini akan menjadikan mereka lebih produktif dan berdaya
saing. Seterusnya sudah tentu dapat meningkatkan kefahaman dan memperkukuh
pembelajaran dalam apa sahaja perkara yang mereka pelajari nanti.
Bagi menerapkan kemahiran berfikir
aras tinggi dalam kalangan murid maka peranan guru sangat signifikan. Usaha ke
arah itu perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh.Sebenarnya kemahiran
berfikir ini bukanlah asing kepada guru kerana mereka telah didedahkan tentang
konsep dan kaedah kemahiran ini semasa mengikuti latihan perguruan di maktab
atau universiti suatu ketika dahulu. Walau apa pun guru perlu terus
ditingkatkan keupayaan kemahiran berfikir mereka supaya dapat memberikan yang
terbaik kepada murid dalam pengajaran mereka. Antara cara berkesan yang boleh
dilakukan untuk menerapkan KBAT dalam pembelajaran dan pengajaran ialah dengan
mengemukakan soalan-soalan yang berunsurkan KBAT semasa proses pembelajaran dan
pengajaran dijalankan. Soalan dikemukakan adalah soalan yang membolehkan murid
untuk mengaplikasi, menganalisa, mensintesis dan menilai suatu maklumat
daripada sekadar menyatakan semula fakta atau hanya mengingati fakta yang telah
dipelajari.
No comments:
Post a Comment