Penggunaan
istilah “teknologi maklumat” mula digunakan pada sekitar dekad 1970-an.
Terdapat banyak penyelidikan telah dilakukan bagi membiayai inovasi serta
pembaharuan dalam bidang jentera dan pengkomputeran. Oleh itu, pada akhir dekad
1970-an telah terdapat penciptaan mikrokomputer dan juga diikuti dengan
penciptaan komputer peribadi IBM pada tahun 1981. Information and Communication
Technology(ICT) atau dikenali sebagai Teknologi Maklumat dan Komunikasi adalah
merupakan teknologi yang diperlukan untuk pemprosesan data. ICT juga adalah
penggunaan komputer dan perisian untuk mengubah, menyimpan, melindungi,
memproses, memindah, melihat,dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan
waktu. Selain itu, ICT adalah sebagai satu proses pengaliran, penyebaran,
pemprosesan dan penyimpanan maklumat menggunakan perantaraan teknologi.
Teknologi ini juga disifatkan sebagai satu bentuk pemudah cara yang membolehkan
pengaliran maklumat menjadi semakin mudah dan pantas.
Oleh
yang demikian, teknologi dalam pendidikan juga adalah bukan lagi suatu perkara
yang baru untuk dibincangkan. Penggunaan
teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran seperti komputer, kalkulator
saintifik, perisian dinamik bergrafik mahupun media teknologi maklumat telah
digunakan oleh sesetengah guru di dalam bilik darjah. Kementerian Pendidikan
Malaysia (2000) telah menyatakan objektif kurikulum matematik sekolah menengah,
iaitu memperkasakan kebolehan pelajar dalam menggunakan teknologi yang
bersesuaian untuk membina konsep, menguasai kemahiran dan menyelesaikan masalah
serta meneroka ilmu matematik. Ini juga selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia 2013-2025 yang telah memperkenalkan 11 anjakan yang perlu digunakan
untuk mentransformasikan sistem pendidikan negara yang dimana anjakan yang
ketujuh adalah memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di
Malaysia.
Penggunaan
teknologi seperti komputer, kalkulator saintifik, perisian pembelajaran
interaktif dan dinamik adalah merupakan elemen yang penting dalam pengajaran
dan pembelajaran yang bertujuan sebagai persediaan dan memperkasakan pelajar
dalam menghadapi cabaran di masa hadapan. Selaras dengan kandungan dan harapan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu memperkembangkan potensi individu secara
menyeluruh dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani untuk melahirkan
masyarakat yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab dan berkeupayaan dalam mencapai kesejahteraan diri dan
seterusnya memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga,
masyarakat dan Negara. Selain itu, terdapat beberapa strategi pembelajaran yang
boleh digunakan oleh guru dalam mengaplikasikan teknologi dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Di antaranya adalah menggunakan paparan
multimedia, internet dan perisian interaktif yang kaya dengan teknologi
terkini. Guru juga perlu mempunyai persepsi dan kesediaan terhadap teknologi
yang digunakan untuk memastikan teknologi yang digunakan dalam bilik darjah
adalah bersesuaian dan berkesan. Ini
juga ditunjukkan dalam kajian Yushau (2006) yang menyatakan persepsi guru
terhadap teknologi maklumat memainkan peranan yang penting dan sebagai faktor
yang menentukan keberkesanan penggunaan komputer dalam pengajaran dan
pembelajaran matematik.
Menyedari
kepentingan penggunaan ICT pada masa kini, maka guru digalakkan untuk
mengukuhkan penggunaan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran di
dalam bilik darjah. Usaha yang boleh dilakukan untuk membentuk satu proses
pengajaran adalah dengan mengintegrasikan penggunaan teknologi dalam bentuk
yang boleh difahami oleh pelajar. Di samping itu, guru perlu mempunyai
kesediaan dan pengetahuan mengenai teknologi yang akan digunakan bagi
menjadikan suasana pembelajaran lebih bermakna dengan mengintegrasikan
teknologi di dalam pengajaran ini. Menurut Power & Blubaugh (2005)
menyatakan memberikan perhatian terhadap bagaimana dan bila teknologi dapat
digunakan dengan berkesan di dalam bilik darjah ketika pengajaran dan
pembelajaran matematik. Ia juga menggalakkan pembelajaran secara penemuan dan
bereksperimen dengan penggunaan teknologi sebagai bahan bantu mengajar.
KEPENTINGAN PENGGUNAAN ICT
Meningkatkan kefahaman sesuatu konsep,
memberi gambaran visual dan memudahkan pengiraan kompleks.
Merangsang murid untuk belajar secara
berkesan dengan bimbingan yang minimum.
Membantu murid dalam proses penyelesian
masalah dan komunikasi dengan lebih cepat dan tepat.
Mewujudkan peluang pembelajaran yang
sama kepada murid yang mempunyai pelbagai kebolehan dan kecerdasan.
Membantu murid mendapat dan mengumpul
maklumat yang mungkin sukar diperoleh dalam keadaan biasa.
Mewujudkan suasana pembelajaran yang
seronok, mencabar dan berbentuk penerokaan.
Memupuk sifat ingin tahu dan ingin
mencuba di kalangan murid.
Meningkatkan daya kreativiti, inovasi
dan imaginasi murid.
Menggalakkan murid merealisasikan:
Ø Pembelajaran
terarah kendiri
Ø Pembelajaran
akses kendiri.
No comments:
Post a Comment