AKSES
Menurut Kamus Dewan edisi yang
ke-4, akses bermaksud proses atau cara untuk mencapai atau memperoleh sesuatu
data dan maklumat capaian. Manakala ekuiti pula bermaksud pemilikan sama rata
dalam sesebuah organisasi atau dalam erti kata lain usaha bagi memastikan semua orang mendapat
bantuan secukupnya bagi mencapai satu tujuan pada tahap yang sama. Maka dengan
itu, Akses dan Ekuiti Dalam Pendidikan Matematik adalah suatu perbincangan
tentang hak semua orang mendapatkan pengetahuan Matematik dengan sempurna dan
mendapat peluang seluasnya bagi mencapai tahap tertinggi dalam pengetahuan
Matematik.
Isu tentang perkara
ini mula hangat diperkatakan pada hujung kurun ke-20. Hal ini adalah kerana
ketika itu telah muncul beberapa wanita dalam fakulti pengajian Matematik di
universiti terawal dunia. Usaha bagi mengkaji kewujudan dan peranan ahli
Matematik wanita mula giat dijalankan. Ini adalah kerana hanya ahli Matematik
lelaki berbangsa Eropah yang diketengahkan pada awal kurun ke-19. Tambahan
lagi, ilmu Matematik ini hanya didapati dalam bahasa-bahasa bangsa Eropah
sehinggalah zaman itu dikenali sebagai zaman Matematik Eropah.
Selain itu, ilmu Matematik didapati hanya
berkisar tentang hal kaum lelaki dengan penggunaan contoh masalah dan
penggunaan perkataan objek dan nama yang merujuk kepada lelaki. Maka dengan
itu, muncul kesedaran bahawa bidang Matematik ini hanya dibuka kepada golongan
tertentu dan tidak menjadi ilmu pengetahuan yang dapat disampaikan kepada semua
orang tanpa mengira jantina, kaum, faktor geografi, umur, keupayaan fizikal dan
mental. Slogan ‘Matematik untuk Semua’ mula kedengaran daripada kebanyakan ahli
Matematik yang ketika itu mula menjalankan usaha bagi memastikan ilmu Matematik
ini dapat disampaikan kepada semua orang tanpa ada halangan.
Perkembangan ini
digambarkan oleh seorang ahli Matematik lelaki Amerika pada masa itu, David
Henderson dalam bukunya yang diterbitkan pada 1981 : “…saya pasti bahawa jika
wanita, golongan kelas pekerja dan bangsa lain terlibat dalam perkembangan ilmu
Matematik masa kini, pastilah pandangan masyarakat tentang ilmu Matematik akan
berubah dan pengetahuan kita tentang alam ini akan mencapai kemajuan. Ini
merupakan pencapaian bagi kita semua ”.
Golongan yang
terpinggir daripada akses dan ekuiti dalam pendidikan Matematik begitu hangat
dibincangkan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa isu yang telah dapat
dikenalpasti dan usaha bagi mendapatkan akses dan ekuti dalam pendidikan
Matematik bagi golongan yang terbabit dalam isu ini adalah antara yang terawal
dilaksanakan semenjak kesedaran ‘Matematik untuk Semua’ muncul. Isu yang
dimaksudkan adalah jantina, tahap literasi dan numerasi, penduduk luar bandar
dan pedalaman, serta orang yang direman dan banduan.
MENYEDIAKAN KESAMARATAAN AKSES KEPADA
PENDIDIKAN BERKUALITI BERTARAF ANTARABANGSA
Mengapakah
perlu ? :
Asas kejayaan sistem persekolahan bergantung
kepada apa yang murid mesti tahu, faham, dan mampu lakukan. Sejak dahulu lagi,
murid Malaysia berkebolehan mengemukakan semula kandungan mata pelajaran yang
diikuti. Walau bagaimanapun, kemahiran ini kurang penting dalam ekonomi yang
sentiasa berubah pada masa ini. Sebaliknya, murid perlu ada keupayaan menaakul,
membuat unjuran, dan mengaplikasi pengetahuan secara kreatif dalam suasana
baharu yang berlainan. Murid juga memerlukan ciri kepimpinan untuk bersaing di
peringkat global. Pentaksiran antarabangsa TIMSS dan PISA menunjukkan murid di
Malaysia sukar mengaplikasi kemahiran berfikir aras tinggi. Kaji selidik yang
dijalankan ke atas syarikat Malaysia dan syarikat antarabangsa juga mendapati
bahawa murid Malaysia gagal menguasai kemahiran insaniah yang diperlukan oleh
bakal majikan. Pada masa yang sama, pendidikan sering dilihat sebagai pengupaya
mobiliti sosial. Kanak-kanak yang dilahirkan dalam
keluarga
miskin berpeluang memperoleh pendapatan yang tinggi apabila dewasa, sekiranya
mereka berpeluang mendapat pendidikan tinggi. Walau bagaimanapun, selagi status
sosioekonomi kekal sebagai penentu kejayaan akademik dan merupakan faktor utama
yang mewujudkan jurang pencapaian
murid,
hasrat Kementerian untuk merealisasikan mobiliti sosial dalam kalangan murid
miskin sukar dicapai.
·
Menanda aras pembelajaran bahasa, Matematik
dan Sains dengan standard antarabangsa.
-
Setiap murid akan menerima asas literasi dan
numerasi, iaitu kemahiran asas untuk pembelajaran pada masa hadapan, serta
dalam mata pelajaran Sains, iaitu bidang pertumbuhan utama bagi ekonomi
Malaysia. Murid akan diajar mengikut kurikulum yang digubal berdasarkan
standard sistem pendidikan berprestasi tinggi dan tanda aras ini perlu disahkan
oleh badan bebas untuk meyakinkan ibu bapa. Kementerian juga akan menetapkan
dan memantau sasaran pencapaian murid dalam pentaksiran antarabangsa PISA dan
TIMSS. Pentaksiran tambahan yang mengambil kira dimensi kualiti lain yang
relevan dengan konteks Malaysia, boleh dimasukkan apabila dibina dan diterima
di peringkat antarabangsa.
·
Melancarkan Kurikulum Standard Sekolah
Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak
semula pada 2017.
-
Kurikulum sekolah rendah dan menengah
perlu disemak bagi mengimbangi set ilmu pengetahuan dan kemahiran seperti pemikiran kreatif,
inovasi, penyelesaian masalah, dan kepimpinan. Kurikulum ini memberi penekanan
kepada pengajaran berpusatkan murid dan pengajaran yang dibezakan, di samping
turut memberi lebih penekanan kepada penyelesaian masalah, tugasan berasaskan
projek, memperkemas mata pelajaran atau tema, dan melaksanakan pentaksiran
formatif. Kurikulum ini akan menyokong dan mempercepat laluan pembelajaran
untuk murid yang berprestasi tinggi menamatkan SPM dalam tempoh empat tahun,
bukannya lima tahun, dan UPSR dalam tempoh lima tahun, bukannya enam tahun.
Tambahan lagi, standard pembelajaran yang jelas akan dirangka agar murid dan
ibu bapa memahami kemajuan yang dijangkakan bagi setiap tahun persekolahan.
·
Merombak peperiksaan kebangsaan dan pentaksiran
berasaskan sekolah (PBS) untuk meningkatkan secara berperingkat peratusan
soalan yang mentaksir kemahiran berfikir aras tinggi.
-
Menjelang 2016, soalan berbentuk pemikiran
aras tinggi akan merangkumi sekurang-kurangnya 40% daripada soalan
dalam UPSR dan sekurang-kurangnya 50% daripada soalan dalam SPM.
Perubahan dalam reka bentuk peperiksaan bermaksud guru tidak lagi perlu
meramal soalan dan topik yang akan diuji, dan melaksanakan latih tubi
bagi mengingati kandungan pelajaran. Sebaliknya, murid akan dilatih
untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasikan pengetahuan dalam
situasi berbeza. Pada masa yang sama, pentaksiran berasaskan sekolah juga akan
menganjak tumpuan untuk menguji kemahiran berfikir aras tinggi.
·
Meningkatkan kualiti pendidikan Sains,
Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).
-
Kurikulum, peperiksaan dan pentaksiran untuk
semua mata pelajaran STEM akan dikaji semula sebagai sebahagian daripada
reformasi KSSR, KSSM, dan penerapan kemahiran berfikir aras tinggi. Khususnya
dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, murid akan mendapat manfaat dengan
tambahan masa pengajaran dan penekanan terhadap aplikasi pengetahuan yang
praktikal melalui amali makmal dan pembelajaran berasaskan projek. Dalam tempoh
interim, Kementerian akan memperkenalkan modul kurikulum tambahan untuk
menangani jurang terbesar dari segi kandungan dan kemahiran dalam kalangan
murid yang telah dikenal pasti melalui pentaksiran TIMSS dan PISA. Modul ini
akan dilaksanakan mulai 2014. Kementerian juga akan menjalankan ujian
diagnostik terhadap guru untuk mengenal pasti tahap kemahiran pedagogi dan
pengetahuan kandungan mata pelajaran bagi menyediakan program peningkatan
kemahiran khusus. Selain itu, Kementerian juga akan meneroka penggunaan model
pembelajaran pelbagai mod yang memanfaatkan teknologi untuk mengukuhkan
pembelajaran murid.
·
Memperluas akses dan meningkatkan kualiti
laluan pendidikan, bermula dengan pendidikan vokasional.
-
Menjelang akhir 2013, perkhidmatan kaunseling
kerjaya dan akademik akan dimasukkan ke dalam jadual waktu sekolah menengah
untuk membantu murid membuat pilihan bermaklumat mengenai pelbagai laluan
pendidikan yang ditawarkan seperti sekolah agama, sekolah vokasional dan
teknik, sekolah seni dan sekolah sukan, program pembelajaran pintas untuk murid
berprestasi tinggi dan pintar cerdas serta Tingkatan 6, dan Program
Matrikulasi. Bagi laluan pendidikan seperti Pendidikan Vokasional yang mana
permintaan melebihi bekalan, Kementerian mengadakan perjanjian pembelian tempat
dengan sektor swasta. Kementerian akan meningkatkan kualiti pendidikan
vokasional melalui kerjasama dengan sektor swasta bagi mendapat kelayakan yang
diiktiraf oleh industri, penawaran lebih peluang kursus praktikum secara
‘hands-on’ dan meningkatkan latihan guru.
·
Meningkatkan kualiti prasekolah dan
menggalakkan enrolmen sejagat menjelang 2020.
-
Setiap murid berusia 5 tahun dan ke
atas akan mendaftar di institusi pendidikan prasekolah yang
dikendalikan oleh pihak awam atau swasta.
Keluarga berpendapatan rendah dan tidak mampu mendaftar anak mereka ke
prasekolah akan diberi bantuan kewangan berdasarkan keperluan oleh Kementerian.
Semua prasekolah akan mengikuti standard kualiti kebangsaan, termasuk
memastikan guru yang berkelayakan sekurang-kurangnya diploma ditempatkan di
setiap prasekolah. Institusi prasekolah ini akan diperiksa secara tetap oleh
Kementerian atau Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Malaysia
bagi memastikan standard minimum dicapai.
·
Meningkatkan pelaburan dalam sumber fizikal
dan sumber pengajaran untuk murid berkeperluan khusus.
-
Murid Orang Asli dan kumpulan minoriti
lain, dan murid kurang upaya fizikal atau pembelajaran akan menerima bantuan
tambahan supaya mereka juga menikmati peluang pendidikan yang sama rata.
Menjelang 2025, murid ini akan memasuki sekolah yang mempunyai kemudahan dan
peralatan lengkap bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan
membantu murid. Mereka akan diajar oleh guru yang telah menerima latihan
tambahan untuk memahami keperluan dan cabaran khusus murid, dan strategi
pengajaran yang diperlukan untuk mengajar murid berkeperluan khusus. Murid ini
juga akan diberikan sokongan melalui peluasan jaringan kaunselor, terapis, dan
pembantu guru mengikut keperluan.
·
Melanjutkan pendidikan wajib daripada 6 tahun
kepada 11 tahun bermula pada umur 6 tahun dan ke atas, disokong dengan program
pengekalan yang disasarkan.
-
Menjelang 2020, setiap murid akan
meninggalkan alam persekolahan dengan kelayakan minimum SPM atau kelayakan
vokasional yang setara. Perubahan ini bermaksud pendidikan wajib akan
ditingkatkan daripada 6 tahun kepada 11 tahun. Enrolmen murid dianggarkan akan
meningkat masing-masing sebanyak 5%, 10% dan 20% di peringkat pendidikan
rendah, menengah rendah dan menengah atas (berdasarkan kadar enrolmen pada 2011
untuk sekolah awam dan swasta). Murid yang mempunyai risiko tercicir akan
dibantu menerusi pelbagai inisiatif, merangkumi bimbingan pemulihan untuk ibu
bapa dan kaunseling murid, bagi mengekalkan mereka dalam sistem pendidikan.
No comments:
Post a Comment